![]() ![]() Diaryland |
Mendengar semula komentari Shane Meadows (pengarah) yang terkandung dalam naskhah DVD hebat ini, jelas bahawa objektif sebenar beliau hanya mahukan pengkritik filem menonton dan menilainya, bukan khalayak mainstream. Maka beliau tidak berapa kisahkan apa jua rating badan penapisan filem yang diklasifikasikan (walaupun beliau sedar "rating" itu sangat mempengaruhi). Beliau juga ada memberitahu bahawa bahawa terdapat dua faktor yang mendorongnya membikin Dead Man’s Shoes: pertama ialah dari peristiwa kematian (bunuh diri) rakan baiknya yang dibuli setelah mengambil dadah, keduanya ialah kerana keganasan yang seringkali berlaku di luar bandar Britain dalam pelbagai aspek sosial termasuk masalah samseng dadah (drug-lord), perkauman (white-power), pembuli jalanraya dan sebagainya. Justeru, beliau sangat-sangat mendendami semua itu lalu membikin filem ini, dan wira sebenarnya kita boleh katakan adalah beliau sendiri (di samping lakonan dinamik Paddy Considine – tiada pelakon lain lagi yang sesuai untuk watak ini). Format DVD baru sahaja di'release'kan di Australia setelah hampir 3 tahun filem ini ditayangkan sejak 2004 di UK. Apa sebab mengapa ia lambat aku sendiri tak faham. Di Malaysia pula filem ini berstatus "Banned" (sumber IMDB), maka ia barangkalinya sudahpun masuk ke pasaran gelap sejak awal tahun lepas lagi. Aku faham kenapa ia diharamkan di Malaysia. Barangkali kerana ketidakwujudan keadilan sosial dalam tema 'revenge'nya (walaupun penuh poignan lagi subtle) kerana wiranya seorang pembunuh. Dia membunuh kesemua manusia yang bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku terhadap adiknya yang terencat akal. Maka, badan penapisan filem Malaysia (selaku wakil kerajaan) kononnya cuba berpesan (atau cuba menjauhkan kita dari menontonnya) agar kita jangan sesekali meniru perbuatan wira filem ini. (sepertimana filem Pemburu arahan Rahim Razali lakonan kuat Ahmad Yatim (merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM-3 1982) mengikut pengetahuan aku tidak disiarkan lagi di TV Malaysia). Juga penafian filem Big Durian arahan Amir Muhammad – dokufilem yang menggarap kisah benar tentang amukan seorang askar dengan M16 sekitar tahun 1987 di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sebaliknya, kita (orang Malaysia) ada bahasa kasar sendiri sejak turun temurun seperti Celaka kau, sial, anak haram, pukimak, pantat, butuh, pergi mampus kau, pergi jahanam – itu semua barangkali boleh digunapakai dalam filem Melayu. Itu adalah bahasa 'sebenar' kita dalam konteks realisme, kalau bukan dalam filem sekalipun. Pendek kata, kita tidak dibenarkan membawa elemen realisme ke dalam filem khususnya filem Melayu. Filem Melayu harus eskapis dan mencerminkan budaya Melayu yang baik (atau yang baik-baik sahaja). Kalau ada juga, maka ia bukan lagi menjadi filem Melayu (dinafikan keMelayuannya), maka ia harus bersedia untuk dikecam-sekecamnya akhirnya diharamkan. Sungguh haram jadah sekali. Anda sedang melayari segmen arkib - klik untuk ke laman utama SKRIN!
|